Wednesday, October 18, 2017

Cinta Takkan Berakhir

Bab 9

 Langkah dilajukan secepat yang mungkin. Meskipun dia tidak dikejari tapi dia tahu Aizal sentiasa memerhatikan dia. Di mana saja dia berada, Aizal akan cuba mendekatinya. Percutian kali ini menjadikan dia seorang pelarian. Berkali – kali dia menoleh ke belakang. Dia dapat menangkap pandangan tajam Aizal dari jauh. Dia fikirkan perpisahan empat tahun lalu akan membuatkan  lelaki itu akan melupakan dia buat selama – lamanya. Maklumlah sudah berkahwin dengan pilihan hati yang muda dan mentah, masakan tidak bahagia pula. Perlukah dia mencari hotel lain atau terus pulang ke Melaka saja. Percutian ini langsung tidak memberikan ketenangan seperti yang diharapkan. Mulut Eriqa berkumat kami  menahan geram.
            Eriqa pusing ke belakang lagi. Tangan kanannya mengenggam erat kamera Nikon yang bergayut dileher jinjangnya agar tidak jatuh. Kamera ini adalah kamera kesayangan arwah tunangnya. Ke mana pergi Johan akan menggantung kamera itu ke leher. Ada sahaja gambar - gambar yang diambilnya. Baru dia hendak pusing ke depan, bahunya telah berlaga dengan tubuh seseorang. Tubuh yang sasa dan tinggi yang tiba - tiba ada di depannya. Eriqa yang bertubuh ringan dan kecil terus jatuh terduduk bagaikan buah nangka jatuh. Mujur Eriqa tidak menjerit sebaliknya memegang punggung yang terasa sakit. Matanya terpejam seketika sambil memegang punggung.
            “Awak okey tak? Maafkan saya ya? Saya tak sengaja” mohon lelaki yang terus mencangkung di hadapannya. Lelaki itu merenung wajah Eriqa. Mata mereka bertaut lagi.
            Lelaki di bilik sebelah?Eriqa yang rasa malu teramat sangat terus bangun diikuti dengan lelaki itu. Mereka berdua bertentangan. Eriqa terus tersenyum bila merenung wajah lelaki dihadapannya. Melihat senyuman Eriqa, lelaki itu kelegaan.
            “Err awak tak apa – apa ke? Sakit tak?” tanya lelaki itu dengan wajah cemas. Nasib baik gadis ini nampak tenang. Sesetengah perempuan tentu sudah meroyan atau marah – marah kalau terlanggar sebegini rupa.
            “Tak apa encik, saya okey. Jangan risaulah. Salah saya juga sebab  jalan tak pandang depan” Eriqa cuba untuk mengukir senyuman. Pada masa yang sama cuba menahan rasa sakit di buku lali.
            “Betul ni?” lelaki itu meminta kepastian. Dia juga tidak senagaja berlanggar dnegan wanita muda ini.
            Eriqa mengangguk laju, “Betul!”
           “Nama awak siapa?” tanya lelaki ingin tahu sambil memandang wajah Eriqa Ellen. Selalu bertemu dan kerap kali terserempak. Lebih mengujakan bilik mereka bersebelahan.
            “Eriqa. Panggil saja saya Ika” balas Eriqa mesra.
            “Ohhh Ika. Saya Dani Ihtisham. Panggil saya Dani je” Dani terus tersenyum lebar
            Eriqa mengangguk faham. Kacaknya! Senyuman dia pun manis! Desis hatinya. Lantas Eriqa menguntum senyuman paling manis untuk Dani. Wajah Dani cukup menenangkan hatinya. Eriqa terkesima seketika.
            “Awak bercuti ke sini ke?” Dani Ihtisham cuba untuk bermesra.
            Eriqa mengangguk, “Ya,saya bercuti di sini. Awak pulak?”
            “Sama juga. Bercuti. Selamat berkenalan” Dani mula menunjukkan kemesraan yang nyata. Jelas wajahnya ingin mendekati Eriqa. Gadis ini kelihatan amat mesra bila berbual. Senyuman tidak lekang dibibirnya.
            “Ya selamat berkenalan juga” sambut Eriqa  malu – malu.
          Wajah Eriqa serta merta berubah bila melihat Aizal Izham sudah berlari – lari ke arahnya. Alamak, sibuk betullah jantan seorang tu!
            Eriqa memandang Dani Ihtisham,  “Dani, awak boleh tolong saya tak? Tolong menyamar jadi tunang saya, boleh? Sekejap je! Sekejap je!” pinta Eriqa mengharap sambil mengelip – ngelipkan matanya sambil tersenyum nakal.
            Dani mengerling Eriqa sambil tersengih lalu memandang lelaki yang semakin dekat dengan mereka berdua. Dani terus mengangguk lantas mereka berdua berdiri bersebelahan dengan jarak yang amat dekat.
            “Tak masalah Ika. Awak pegang lengan saya” Dani mengenyitkan matanya tanda setuju kemudian tersengih lagi. Dia sudah bersedia berhadapan dengan lelaki yang dipandang oleh Eriqa. Hatinya tertanya-tanya siapakah lelaki kitu. Suami? Tunang? Abang kandung ataupun kekasih?
            Eriqa tergelak perlahan terus memaut lengan Dani. Lagak mereka berdua bagaikan pasangan kekasih yang sudah bertunang. Dani tersenyum sendirian, kalaulah perempuan ni jadi tunangnya betul – betul pun dia tidak kisah. Lagi dia suka. Dani Ihtisham hanya mampu ketawa dalam hati kemudian buat – buat muka serius bila Eriqa member isyarat kenyitan mata.
            “Ellen awak okey tak? Saya nampak awak terjatuh” Aizal menunjukkan wajah cemas sambil memandang Eriqa yang sedang mengaduh kesakitan.
            “Tunang saya okey. Dia Cuma sakit sikit je. Awak ni siapa? Baik sangat sampai ambil berat pasal tunang saya” kata Dani dengan muka serius. Keningnya terangkat memandang Aizal Izham. Matanya seolah – olah memberi amaran agar tidak mendekati Eriqa Ellen dengan rapat.
            “Tunang?” Aizal terus memandang wajah Eriqa dengan muka terkejut. Dia seperti tidak percaya mendengarnya. Dia sangkakan Eriqa masih sendirian dan masih menunggu dia kembali kepadanya rupa - rupanya tidak. Aizal menyumpah – nyumpah dalam hati. Tunang? Tidak mengapa. Baru tunang belum jadi suami lagi. Aizal tersenyum sinis. Nampaknya persaingan sudah bermula. Dia yakin dapat memiliki Eriqa semula. Padanya Eriqa, wanita cantik yang memiliki segala-galanya. Eriqa memiliki kerjaya hebat, berasal dari keluarga kaya raya, pandai membawa diri dan memiliki personalitinya tersendiri.
            “Aizal, kenalkan inilah tunang saya, Dani Ihtisham. Kami berdua baru saja bertunang. Percutian ini adalah pra bulan madu kami” Eriqa sengaja mengukirkan senyuman yang paling manis. Sengaja mahu menyakiti hati Aizal. Kalau dulu hatinya amat terluka gara – gara perkahwinan Aiza Izham. Kali ini biarkan Aizal rasa bagaimana dia rasa dulu. Kecewaan dan kesedihan  yang pernah dirasainya membuatkan dia pernah hilang pedoman dan perrtimbangan. Mendengar perkataan Pra bulan madu membuatkan Dani ketawa dalam hati. Dia menahan gelak agar tidak tersembur. Dia mula buat muka serius begitu juga dengan Eriqa.
            “Hai, apa khabar!” Dani menghulurkan tangan kanan untuk bersalam. Dia sengaja mahu memecah kesunyian. Dani juga dapat melihat perubahan wajah Aizal yang jelas menunjukkan tidak menyukai dia.
            Aizal hanya memerhati sahaja dan lambat – lambat menyambut salam lelaki itu.  Melihat Dani, dia rasa tercabar lebih – lebih lagi pegangan erat Eriqa di lengan lelaki itu. Macam mana  pun Eriqa mesti kembali kepadanya sebelum mereka berdua berkahwin. Aizal memasang nekad yang dia akan merampas Eriqa daripada tunangnya!.
            “Abang! Abang!” tiba – tiba terdengar suara perempuan memekik – memekik dari arah belakang.
            Seorang wanita bertubuh rendah, berkulit cerah dan sedikit gemuk berlari – lari anak ke arah mereka bertiga. Wajah perempuan itu kelihatan cemas. Eriqa sudah tersenyum nakal. Kalau dulu dia sangkakan perempuan pilihan Aizal Izham mesti cantik, ramping dan tinggi macam peragawati pentas rupa – rupanya tidak sepadan langsung dengan Aizal yang tinggi lampai orangnya. Isteri Aizal rendah, sedikit gempal, rambutnya kerinting tidak terurus dan bermata besar. Eriqa tersenyum sendirian dan merasakan dirinya lebih menawan dan bergaya dari isteri bekas kekasihnya.
            “Kat sini abang rupanya. Puas Fitrah cari abang tau. Bangun dari katil tengok – tengok abang dah tak ada. Kenapa abang keluar tak beritahu Fitrah?” tanya Fitrah dengan wajah gusar. Rajuknya sudah bermula dan harap dipujuk oleh suaminya.
            “Abang saja keluar awal nak tengok matahari naik” jawab Aizal acuh tak acuh. Tiba – tiba dia hilang semangat. Cuti ini pun bukan dia yang rancang sebaliknya abang Fitrah yang mencadangkan mereka ke sini untuk memperbaiki hubungan suami isteri.
            “Laaaa abang  ni…kan kita dah janji nak tengok sama – samakan?” Fitrah buat – buat marah sambil memukul – mukul manja lengan Aizal. Konon – konon buat aksi manja di hadapan Eriqa dan Dani.
            Tanpa berkata apa- apa, Aizal terus berlalu dan diekor oleh Fitrah dari arah belakang. Kelihatan Fitrah sedang merengek – rengek kepada suaminya tetapi Aizal kelihatan selamba. Buat muka tidak tahu. Mungkin malas hendak melayan karenah isterinya yang macam  budak – budak.
            Eriqa dan Dani sekadar memerhati dari jauh sambil tersenyum. Kemudian mereka berdua saling berpandangan antara satu sama lain.
            “Kenapa lelaki tu panggil awak Ellen?” tanya Dani dengan muka berkerut. Kata namanya Eriqa tapi jantan seorang ini panggil Helen.
            “Ohhh nama saya Eriqa Ellen. Tapi awak panggil saya Ika ye” Eriqa memberi kata putus. Sebab suara lelaki ni macam suara Johan. Eriqa Ellen memejamkan matanya seketika. Ini membuatkan dia semakin sukar untuk melupakan Adam Johan
        “Okey Ika tapi kenapa awak minta saya menyamar jadi tunang awak?” tanya Dani seperti mahu menduga. Dia mahu bertanya lebih lanjut dan kalau boleh ingin tahu latar belakang diri Eriqa. Dan mahu segala – galanya. Sebenarnya sejak semalam dia sudah nampak  Eriqa di balkoni hotel. Sebenarnya sewaktu Eriqa mengambil gambar pemandangan laut menggunakan Ipad sambil tergelak seorang diri sudah membuatkan hatinya tertawan. Pandangan pertamanya sudah membuatkan dia ingin mendekati gadis ini. Cuma dia menunggu masa yang sesuai untuk menegur Eriqa.
            “Dia tu bekas kekasih saya empat tahun yang lalu tapi dia tinggalkan saya sebab nak kahwin dengan perempuan tadi tu” cerita Eriqa perlahan lalu menjuihkan bibir ke arah pasangan suami isteri yang semakin menjauh. Dia harus berterus terang dengan lelaki ini.
            “Oh yeke? Dia gila talak kat awak pulak?” dahi Dani terus jadi berlapis bersama kening terangkat kemudian tertawa kecil. Rugilah lelaki itu sebab tinggalkan Eriqa. Tapi pelik pula kenapa Aizal tinggalkan Eriqa untuk berkahwin dengan isterinya yang gemuk. Mungkin masa sebelum kahwin isterinya kurus agaknya. Mungkin sudah kahwin dah dapat anak, itu yang berat badan naik melampau – lampau.
            Eriqa turut tergelak sama, “Ish ke situ pulak. Dia dah kahwinlah.  Gila talak apanya? Apa yang pasti saya takkan kembali kepada dia lagi” tekad Eriqa bersama senyuman yang meyakinkan.
            “Tapi lepas ni awak tak boleh keluar seorang diri. Bahaya!” wajah Dani berubah serius.
            “Kenapa pulak?” dahi Eriqa terjungkit seraya merenung wajah lelaki di hadapannya.
            “Awak dah jadi tunang sayakan?” kata Dani tersenyum nakal sambil menjungkitkan kening sebelah kanan.
            Eriqa tergelak, “Cuma untuk hari ni sajalah!”
            “Hari – hari seterusnya? Kalau dia dapat tahu awak menipu dia macam mana?  Jadi saya cadangkan kita keluar bersama setiap hari. Kita sarapan sama – sama, makan tengahari sama – sama, makan malam bersama – sama dan kita  jalan – jalan di sekitar pulau ini bersama – sama nak tak? Ke mana awak nak pergi, beritahu saja saya. Saya akan bawakan. Saya yakin dia takkan ganggu awak lagi” cadang Dani. Mungkin dengan  cara ini dia dapat menyelami hati gadis ini. Dia yakin Eriqa masih belum dimiliki sesiapa.
            Eriqa tersenyum malu. Betul juga kata Dani.  Kalau Aizal dapat tahu dia sebenarnya masih  bujang dan sendiri tentu dia dikejari oleh Aizal lagi. Dia cukup kenal Aizal bagaimana orangnya. Degil dan keras kepala. Jadi jalan terbaik adalah menyamar menjadi tunang kepada lelaki kacak ini, Dani sepanjang percutian ini. Eriqa terus mengangguk setuju. Selepas ini dia tidak lagi sunyi berada di pulau tercantik ini.
           Dani tersenyum sendirian. Di dalam hati, mengharapkan benda sesuatu yang indah terjadi di antara mereka berdua. Manalah tahu ada bulan madu yang sebenar suatu hari nanti.
            “Jom, saya belanja awak sebab awak dah tolong saya tadi” ajak Eriqa yang terlebih dahulu mengorak langkah.

            Dani mengangguk setuju. Kebetulan dia juga sudah dahaga. Bahang mentari mula terasa bila masuk waktu tengahari. 

Saturday, October 14, 2017

Cinta Takan Berakhir



Bab 8
Selepas solat subuh dia segera bersiap – siap dan terus  berlari menuju ke pantai semata – mata mahu melihat matahari terbit. Namun keinginannya itu termakbul. Betapa kagumnya dia melihat keindahan Ilahi itu. Dia tersenyum sendirian melihat cahaya matahari yang mula naik ke dada langit. Dia terpegun sebentar. Kamera Nikon di tangannya terus menangkap beberapa keping gambar buat kenangan. Teknik menangkap gambar juga sempat diajar oleh arwah tunangnya. Johan gilakan kamera dan yang selalu menjadi mangsa sebagai model, tak lain tak bukan tentulah Eriqa. Mula – mula mengambil gambar macam patung cendana lama – kelamaan dia pandai bergaya di depan kamera.
            Eriqa mencecahkan kedua-dua kakinya ke gigi air dan menyusuri sepanjang pantai. Dia mahu menikmati keindahan alam semulajadi ini. Dia juga berkira – kira mahu ke Rantau Abang dan Kuala Terengganu selepas ini. Di Pasar Payang, dia mahu membeli sebanyak mungkin cerderahati untuk keluarga dan sahabat handai. Dia teringin sangat melihat Penyu. Ada lagi ke? Dia masih teringatkan kata – kata arwah tunangnya yang mendambakan pulau Redang sebagai bulan madu mereka berdua. Tapi sayang, itu semua tinggal kenangan. Dia ralat apabila banyak impian tidak sempat dicapai oleh Johan.
            Penerbangan dari KLIA 2 ke Terengganu semalam cuma mengambil masa 45 minit sahaja. Kemudian dari Kuala Terengganu ke Merang dalam masa 45 minit dan seterusnya dia menaiki bot dari Jeti Merang ke Pulau Redang mengambil masa satu jam. Itu pun sudah cukup memenatkan dirinya. Dia terpaksa tidur awal malam tadi selepas menikmati hidangan makan malam. Dia ingin menikmati percutian ini sepuas – puasnya tanpa sebarang gangguan. Dia berharap sangat agar tidak  bertemu dengan Aizal lagi. Dia tahu Aizal menginap hotel yang sama cuma tidak tahu dia bilik yang mana sedangkan Aizal tahu dia duduk bilik yang mana. Tidak adil rasanya. Kalau dia menerima gangguan lagi dari Aizal, dia bercadang mahu mencari hotel atau chalet yang lain. Seboleh – bolehnya dia tidak mahu jumpa Aizal lagi.
            “Ellen” satu suara menyapa dari arah belakang
            Ellen? Hanya dua lelaki yang memanggil dia Ellen iaitu arwah tunang dan bekas kekasihnya, Aizal. Lambat – lambat Eriqa berpusing ke belakang. Seorang lelaki tinggi lampai dan kurus sedang merenung ke arahnya. Tekaaannya tepat. Eriqa terkesima sekejap. Dia tidak suka dengan situasi ini. Bukan sahaja tidak suka tapi bimbang kalau – kalau si isteri lelaki ini nampak, macam – macam hal boleh berlaku.
            “Aizal. Beraninya awak ke sini jumpa saya lagi?”luah Eriqa sedikit marah. Dia membetulkan selendangnya yang meliuk – liuk ditiup angin laut.
            “Salah ke saya jumpa awak? Kita dah lama tak jumpa” Aizal tersengih lalu memeluk tubuh. Dia juga menghadap pantai nan indah. Merenung ombak menghempas pantai.. Cukup tenang berada di sini lebih – lebih lagi bila bertemu dengan wanita yang pernah dicintainya. Wanita di sebelahnya sudah banyak berubah. Semakin cantik. Semakin anggun malah semakin bergaya. Dia bagaikan jatuh cinta semula dengan Eriqa. Dia yakin wanita ini masih dengan kelembutannya. Kelembutan itu yang membuatkan dia jatuh cinta dengan Eriqa. Dan dia kembali jatuh cinta buat kali kedua...seperti dulu mungkin....dia dapat merasakan cintanya akan ditolak mentah - mentah bukan sahaja kerana statusnya sebagai suami namun dia pernah menyakiti hati Eriqa
            “Tapi untuk apa? Bukan ke kita sudah bersetuju untuk tidak kenal dan anggap seperti tidak pernah bertemu sebelum ini” marah Eriqa. Tidak memang tidak mahu bertemu dengan Aizal lagi. cukuplah. Kata – kata perpisahan yang diucapkan lelaki  ini sungguh menyedihkan hatinya. Lelaki ini pernah membuatkan dia menangis.
            “Tidak semudah itu Ellen. Saya tidak pernah melupakan awak. Baru saya sedar saya mencintai awak sebenarnya” balas Aizal tenang, mengerling sedikit wajah ayu disebelahnya. Dia kesal meninggalkan Eriqa hanya kerana mahu mengahwini gadis yang masih muda dan manja. Awal perkahwinan semuanya indah – indah belaka tapi bila masuk tahun kedua dan ketiga baru dia sedar akan kekurangan dan kelamahan Fitrah yang sebenarnya tidak mampu menjadi isteri yang baik. Fitrah ketika itu baru tamat SPM sudah diajaknyanya kahwin. Itulah keputusan yang paling bodoh dibuat sepanjang hidupnya. Pada awalnya papa juga tidak bersetuju dengan pilihan hatinya malah keluarga Fitrah juga menolak untuk melepaskan Fitrah berkahwin pada usia muda. Barangkali perkahwinan ini hanyalah nafsu semata – mata.
            Eriqa menggeleng – gelengkan kepala,”Tidak. Awak sebenarnya tidak tahu apa yang awak cari dalam hidup awak. Saya tahu hidup awak dulu bagaimana. Liar. Saya datang kepada awak untuk membimbing awak. Membantu awak. Mahu bawa awak pulang ke pangkal jalan. Betul, dulu saya pernah mencintai awak. Awak susah, saya bagi awak pinjamkan duit. Saya tak pernah lupa, saya di Penang, awak di KL tiada wang untuk isi minyak kereta, saya masukkan duit ke dalam akaun awak. Saya ikhlas untuk bersama awak tapi…..sudahlah!  janganlah dikenangkan masa lampau kita dulu. Kisha kita sudah tamat!” kata – kata Eriqa terus member kata putus. Dia sudah lupakan semua kenangan tatkala bersama Aizal. Cintanya pada Aizal hanya sia – sia belaka. Menyesal dia memberi harapan yang tinggi terhadap Aizal.
            “Saya dah banyak berdosa. Mungkin ini pembalasan saya. Saya berkahwin dengan perempuan yang salah” kata Aizal bersungguh – sungguh dan mempamer muka sedih seolah-olah tidak bahagia.
            Eriqa tersentak mendengarnya. Jodoh yang salah? Bukankah jodoh itu ketentuan dariNYA. Menyalahkan jodoh sama juga menyalahkan ketentuan Allah.  Eriqa sama sekali tidak boleh menerima kenyataan itu.  Aizal sepatutnya bersyukur berkahwin pada usia yang muda. Mungkin sudah pun memiliki cahayamata. Di luar sana masih ramai yang ternanti-nanti jodoh malahan ada yang membujang hingga ke tua.
            “Tidak. Itu jodoh awak. Sekufu dengan awak. Fitrah memang untuk awak. Awak sendiri yang mahu mengahwininyakan? Ingat, awak yang pilih dia!” tukas Eriqa. Tajam matanya merenung wajah Aizal Izham. Ketentuan ALLAH tidak pernah silap Cuma manusia yang selalu melakukan kesilapan dengan menyalahkan ketentuanNYA.
            Eriqa tidak suka dengan kata –kata Aizal Izham seperti menyalahkan takdir. Dulu dia amat kecewa bila Aizal membuat keputusan untuk berkahwin dengan adik angkatnya. Lelaki yang hidupnya bergelumang dengan seks bebas dan perempuan akhirnya menjadi seorang suami sedangkan dia seorang wanita yang terlalu menjaga diri masih terkapai – kapai mencari pasangan hidup. Dia tahu Allah akan memberikan dia yang terbaik.
            “Dia tak mampu menjadi isteri yang baik. Dia masih mentah untuk untuk menjadi isteri sebenarnya. Dia banyak melukakan hati saya” luah Aizal dengan muka sedih.
            “Melukakan hati awak? tapi dia nampak baik sahaja. Dia nampak manja dengan awak. Huh, dasar lelaki!” balas Eriqa sinis sambil menjeling.
            Ada sahaja alasan Aizal untuk memburukkan si isteri. Tak pandai itulah. Tak pandai inilah. Itulah lelaki ada sahaja yang tidak kena pada pasangan masing – masing bila sudah jemu. Perkahwinan memang senang didirikan tetapi untuk mempertahankannya memang sukar!
            “Dia bukan yang seperti saya harapkan. Saya akui sebab saya terburu -  buru memilih dia. Saya tidak sepatutnya bersama dengan Fitrah. Saya silap!” luah Aizal dengan rasa kecewa sambil meraup wajah dengan kedua –dua tapak tangan. Dia ingin sangat Eriqa memahami dirinya.
            Membara hati Eriqa mendengar. Suami jenis apa ini hingga sanggup memburukkan isteri sendiri dengan perempuan lain. Maruah isteri harus dijaga bukannya diperkotak –katikkan.  Eriqa melepaskan segugus nafas secara perlahan lalu menghadap Aizal dengan merenung mata lelaki itu dalam – dalam.
            “Aizal, dengar sini, walaupun beribu – ribu bakul awak memburuk isteri awak sendiri saya tetap tiada kasihan untuk awak. Awak memang telah lama membuang saya jauh – jauh. Seburuk mana isteri awak dia adalah wanita yang dipilih oleh awak. Kalau dia ada kelemahan sekalipun,awak sebagai suami harus membimbing dia bukannya membiarkan dia terkapai – kapai. Saya rasa awak kahwin pun sebab nafsu. Rasanya awak pun tak tahu apa tanggungjawab dan peranan seorang suami. Awak fikir perkahwinan itu cuma seks je. Bukan saya tak tahu, apa yang berlaku antara awak dengan dia dulu sebelum kahwin kan?” tukas Eriqa panjang lebar.
            Dia sebenarnya pernah mengorek rahsia dari beberapa rakan baik Aizal yang juga terkejut akan perkahwinan secara tiba – tiba dari Aizal. Tiada angin tiada rebut alih – alih Aizal sudah menghulurkan kad undangan. Rupa – rupanya, Fitrah dan Aizal ditangkap basah di hotel murah pada  malam Hari kekasih. Mahu tak mahu Aizal terpaksa mengambil jalan singat iaitu perkahwinan atas saranan kedua-dua keluarga.
            “Saya kesal sangat sebab tinggalkan awak. Saya Cuma mahu selamatkan maruah keluarga saya”lirih suara Aizal memberi alasan. Berharap yang Eriqa memahami kenapa dia buat keputusan mengahwini Fitra.
            “Maruah keluarga? Maruah isteri awak? Maruah keluarga isteri awak? Tak fikir? Atau tak fikir langsung? Kalau dah buat tak senonoh memang dah tak selamat. Saya menerima cinta awak dulu sebab nak bawa awak ke pangkal jalan. Nak bimbing awak agar tidak  meneruskan kerja – kerja maksiat awak. Saya ingat awak ikhlas dengan saya, rupanya tidak!” balas Eriqa tanpa memandang lelaki di sebelahnya. Suaranya sengaja ditinggikan. Biar Aizal tahu yang dia bukan perempuan yang lemah malah dia sesekali tidak akan menjilat ludahnya semula!
            “Ellen…takkan awak tak mahu beri saya peluang untuk saya buktikan? Peluang terakhir akan saya buktikan pada awak yang saya betul-betul cintakan awak” seru Aizal seperti mengharapkan simpati.
            “Dahlah, jangan ganggu saya lagi. Bukan ke awak dah beritahu saya dulu, jangan ganggu awak lagi. Awak tak ingat ke, masa saya ucap  selamat pengantin baru, awak dah marah – marah saya sebab tak mahu diganggu. Jadi jangan ganggu saya lagi sampai bila – bila. Saya tak nak tengok muka awak lagi!” Eriqa segera meninggalkan pantai lalu menuju ke bilik hotel. Sesak dadanya bila air mata turut bergenang. Kenapa aku harus menangis kerana lelaki itu lagi? cukuplah.

            Aizal hanya terkaku di situ terkulat – kulat melihat Eriqa Ellen meninggalkan dia. Gadis itu nampak saja lembut tapi hatinya keras macam batu. Dia terus mengeluh berat. Meninggalkan Eriqa adalah satu keputusan paling bodoh dalam hidupnya. Aizal terus menyepak pasir di kakinya tanda geram dan kecewa. Bila terbayangkan wajah isterinya, mahu dia menjerit sekuat hati. Eriqa mesti kembali semula pada aku!

Saturday, September 30, 2017

Cinta Takkan Berakhir


Bab 7
Selepas mandi, Eriqa menyarung blaus putih dan palazzo. Pukul 8 malam, dia mahu terus menikmati hidangan makan malam. Perutnya sudah berbunyi pelbagai irama minta diisi. Sambil mengeringkan rambut dengan sehelai tuala, Eriqa menolak pintu sliding ke tepi. Eriqa tersenyum riang menikmati keindahan waktu petang. Dia teruja dapat melihat matahari terbenam. Cantik! puji Eriqa dengan rasa kagum. Dia terpukau melihat ombak menderu menghempas pantai. Angin laut China selatan begitu mendamaikan hati. Tuala kering terus diletakkan di atas kepala. Dia terus berteleku di balkoni melihat persekitaran pantai. Eriqa memejam mata sambil menghirup udara segar yang nyaman.
            Eriqa pantas mencapai Ipad di atas meja solek lalu kembali ke balkoni. Keindahan semulajadi ini dipetik lensa beberapa kali. Baru hari ini di mengaktifkan semula akaun Facebook dan Twitter. Bila dia mengaktifkan semula dua akaun itu, banyak persoalan dan pertanyaan dilontarkan kepadanya. Beratus – ratus komen yang diterima membuatkan Eriqa terpaksa menghadkan soalan – soalan yang boleh dijawabnya. Namun soalan mengenai kematian Johan membuatkan dia terdiam sejenak dan berfikir sama ada mahu menjawab atau tidak. Eriqa menjawab separuh dari soalan-soalan yang tersimpan lama.
            Eriqa menghadap pemandangan waktu senja. Cantik. Alhamdulilah! Luah Eriqa yang begitu kagum dengan suasana pemandangan di kala senja.  Dengan cepat dia memetik gambar dari kamera peninggalan arwah Johan. Pelbagai posisi dan gaya gambar ditangkapnya. Dia tersenyum puas bila menatap gambar-gambar yang ditangkapnya.
            Tanpa menunggu lama, gambar – gambar yang diambil tadi dihantar ke akaun Facebook. Dia sengaja buat begitu. Pasti rakan – rakan dan sepupunya menjerit bila melihat gambar –gambar cantik yang diambilnya. Beberapa minit kemudian beberapa rakan Facebook memberi komen sehinggakan Eriqa tersenyum geli hati. Ada yang memarahinya kerana tidak mengajak sama ke Pulau Redang. Ada yang memuji akan kecantikan gambarnya. Eriqa terkekeh ketawa bila Alina menulis dengan ayat – ayat tidak puas hati. Masih marah lagi rupanya bila tidak di ajak sama ke sini.
            Eriqa duduk di kerusi lalu melayani setiap komen yang diberikan. Setiap komen sedikit sebanyak menghiburkan hatinya yang kesepian di sini. Eriqa tersenyum dan ketawa seorang diri membaca setiap komen yang diterima. Dia begitu galak membalas setiap komen yang diterima. Lagi dibalas lagi banyak komen yang diterimanya sampai tak menang tangan untuk menaip. Bibirnya tidak putus – putus menguntum senyuman. Dia rasa bahagia di sini.
            Eriqa kembali menuju ke balkoni. Mahu kembali menatap keindahan pantai di waktu petang. Angin pagi menampar lembut pipinya dan turut menrbang – nerbangkan rambut ikalnya. Dia terasa damai sekali. Dia lupa masalah yang melanda dirinya. Namun dia tidak mampu melupakan Aizal yang muncul secara tiba-tiba. Dia berharap tidak bertemu dengan lelaki itu lagi. Tidak ingin!
            Eriqa menoleh ke kanan. Terus menerus wajahnya berubah terkejut. Lelaki itu? Lelaki yang dilanggarnya kemudian kali kedua bertemu di pasaraya. Oh mudahnya pertemuan ini. Eriqa cuba-cuba mahu memandang lelaki itu disebalik dinding. Dia dapat melihat seorang lelaki sedang berdiri di balkoni sama sepertinya juga. Rupanya jiran sebelah.  Juga sedang termenung. Entah kenapa dia seperti senang sekali melihat lelaki itu. Wajah lelaki itu cukup menenangkan hatinya. Dahinya luas, wajahnya berbentuk bujur sirih dan matanya ke dalam. Bila dilihat wajah lelaki itu cukup memberikan ketenangan. Lelaki itu bertubuh tinggi, kurus, berambut lurus, kulitnya cerah. Dahi lelaki tersebut juga luas dan bentuk wajahnya bujur dan bertulang pipi tinggi dan berkumis nipis, Eriqa tersenyum nakal. Terpesona dia melihat ketrampilan lelaki itu. Paling dia gemari  bahagian matanya yang mampu mencairkan sesiapa.Boleh tahan jugak lelaki itu.
            Saat dia merenung lelaki itu, Eriqa segera memusingkan wajahnya ke hadapan semula bila lelaki itu tersedar diri diperhati. Eriqa buat – buat bergerak di sebelah kiri dengan perlahan. Serentak itu dadanya berdebar – debar. Adakah lelaki itu perasan dirinya diperhatikan?
            Eriqa menggigit bibir. Berkira – kira mahu memandang lelaki itu semula. Walaupun lelaki itu tidaklah sekacak Johan tetapi manisnya tetap ada. Ya ALLAH, aku sudah jatuh cinta lagi ke? Mungkin? Mungkin tidak. Barangkali suka. Hanya suka – suka sahaja. Tidak lebih dari itu. Eriqa menoleh ke kanan. Kali ini pandangan mereka berdua bertemu. Lelaki itu sedang tersenyum kepadanya. Eriqa tergamam. Jantung Eriqa sepeti mahu jatuh. Mungkin terhenti. Perghhhh dia senyum pada aku ke? Eriqa sengaja menoleh ke belakang. Tiada sesiapa pun. Hanya aku. Dia senyum pada aku ke? Eriqa menoleh ke kanan semula. Lelaki itu sudah tiada. Eriqa menggigit bibir. Eriqa sedikit membentak kerana tidak membalas senyuman lelaki itu tadi.

Selepas menunaikan solat jamak takdim, Eriqa Ellen terus bersiap – siap. Perutnya sudah berbunyi minta di isi . Dia sengaja mengambil tempat paling belakang sekali. Bagi mengelak kesunyian, dia membawa sebuah novel  bertajuk Innocent untuk dibaca sambil menikmati hidangan.
            Sedang dia leka menyuap makanan ke dalam mulut, matanya terperasan seorang lelaki mengenakan t-shirt bewarna kelabu dan berseluar jeans duduk tidak jauh darinya. Lantas kepalanya diangkat. Sah, itu lelaki yang dia nampak petang tadi. Dia seorang diri atau sedang menanti seseorang? Eriqa memerhatikan gerak geri lelaki itu yang nampak tenang dan selamba. Tidak seperti sedang menunggu seorang. Lelaki itu kusyuk menikmati makanan.
            Lelaki macam dapat merasakan sedang diperhatikan terus menoleh ke kiri. Eriqa cepat – cepat memandang makanannya semula terus menyuap ke dalam mulut. Satu, dua tiga, empat, lima, perlahan – lahan Eriqa mengangkat kepalanya. Untuk kali kedua mata mereka berdua bertaut. Lelaki itu tersenyum. Eriqa terus terdiam segera melarikan pandangannya. Tanpa membuang masa Eriqa Ellen terus menyudu suapan terakhir ke dalam mulut. Kemudian the tarik dicicip hingga habis. Hatinya berdebar – debar. Jantungnya berdegup kencang. Lelaki itu kelihatan tenang menikmati makanan. Setelah siap semuanya, Eriqa treus menghalakan ke langkahnya. Sampai ke meja lelaki itu, terasa tubuhnya seperti di awang – awangan.
            “Assalamualaikum!” sapa lelaki itu secara tiba – tiba.
            Langkah Eriqa terhenti. Kali ketiga  pandangan mereka bertemu lagi. Eriqa Ellen tergamam, namun salam lelaki itu dijawab juga, “ Waalaikummusalam….maaf, saya pergi dulu” jawab Eriqa tergagap-gagap.

Dia terkelu bila bertentangan mata dengan lelaki ‘manis’ itu. Langkahnya diangkat menuju ke muka pintu. Pintu utama ditolak perlahan dan saat dia berpusing menutup pintu itu, kali keempat pandangan mereka bertemu lagi dan dihiasi senyuman antara mereka berdua. Tanpa membuang masa Eriqa terus berlalu pergi.

Sunday, September 10, 2017

Cinta Takkan Berakhir

Bab 6

Langkahnya terhenti bila terpandang kedai buku yang agak lama. Kedai tersebut nampak usang. Tapi pembeli tidak pernah putus keluar masuk. Kakinya terus menghala ke situ. Dia yakin pasti banyak buku-buku lama yang boleh dibeli.  Matanya meliar memerhatikan rak-rak yang sedikit usang. Ada beberapa buah buku lama dan baru tersusun rapi. Dia membelek satu persatu. Dia tersenyum melihat buku-buku yang tersusun. Susunan buku ini bagaikan terapi bagi dirinya. Banyak juga buku-buku lama seperti buku-buku tulisan Buya Hamka dan sasterawan Negara seperti Datuk A. Samad Said. Sudah lama dia tidak membaca buku-buku lama. Lagipun sukar mahu mendapatkan buku-buku lama yang ditulis oleh penulis-penulis ternama suatu ketika dulu. Ada beberapa buah buku lama yang belum pernah dibacanya sepeti Neracha Hidup tulisan Buya Hamka.
            Ketika leka membelek buku-buku, dia terpandangkan rak majalah di tepi pintu masuk kedai. Eriqa Ellen terus menghalakan langkah ke sana dengan girang. Tangannya terus membelek satu demi satu majalah. Tiba di satu majalah, dia terus menarik. Dia tersenyum lebar bila melihat muka depan majalah GAYA.Wajah Mizz Nina dengan gaya hijab yang cukup memukau pandangan. Tanpa membuang masa Eriqa Ellen membawa majalah itu ke kaunter. Selepas membayar Eriqa Ellen terus keluar. Dia cadang mahu ke pasaraya untuk membeli stok makanan sepanjang percutiannya di sini.
            Majalah ditangannya diselak pada halaman pertama. Muka surat itu ditatap lama kemudian tersenyum sinis. Gambar seorang wanita yang menghiasi bicara Editor sungguh menjengkelkan. Barangkali perempuan di dalam majalah itu sudah dapat apa yang diingininya. Eriqa Ellen tetap yakin, manusia yang duduk di atas tidak selamanya, tiba waktu akan terjatuh semula. Tidak mengapa, ALLAH maha adil! Getus hati kecilnya.
            Tangannya menyelak-nyelak halaman lain. Sudah banyak perubahan majalah GAYA namun dia rasa kurang senang dengan perubahan majalah ini secara mendadak ini. Sudah jauh dari konsep asal majalah hebat ini. Namun dia lega bila ada beberapa bahagian majalah tidak di ubah. Itu pun ruangan kegemaran pembaca seperti fesyen pilihan, cerita pembaca dan sebagainya. Tangannya menyelak-nyelak halaman dengan arsa tidak sabar. Beginilah sikapnya setiap kali bila majalah GAYA yang muncul setiap bulan di tangannya. Tiba di satu halaman, Eriqa Ellen tersenyum lebar. Dia tersenyum puas. Inilah satu-satu ruangan cetusan idea Puan Seri Halizah yang pernah ditolak mentah-mentah oleh Suzana. Oleh kerana Puan Halizah ada kuasa veto Suazana terpaksa mengalah. Siapa dia hendak lawan Puan Halizah? Huh, jangan kau ingat, tempat aku kau dah ambil, kau boleh ambil perhatian Puan Halizah dari aku? Masih hingga sekarang Puan Halizah memujuk dia kembali ke syarikatnya malah mahu memberi jawatan lain agar dia tidak meninggalkan Chatique  Publisher. Dia tak sanggup sebumbung dengan Suzana yang talam dua muka. Masa awal-awal  jadi pembantu Editor Majalah GAYA, pijak semut pun tak mati, rupa-rupanya dalam dia main tikam belakang. Sekali pandang, memang nampak lurus rupanya perangainya bengkang bengkok. Berani mengenakan orang dalam diam-diam. Tiba di halaman yang tercatit segala tulisannya, Eriqa Ellen tersenyum riang. Tajuk artikelnya kali ini ialah Wanita menawan pada usia 30-an. Dia mengambil masa dua hari sahaja menyiapkan artikel ini. Beberapa kali dia menyunting artikelnya agar nampak lebih baik, kemas dan padat bila dibaca. Bila setiap kali membaca tulisannya sendiri, dia rasa bangga untuk dirinya sendiri. Sekurang-kurang pembaca majalah GAYA tidak lupakan dirinya yang pernah mengemudi majalah GAYA.
            Ketika dia asyik membaca karyanya sambil berjalan, sedar tidak sedar dia terlanggar bahu seseorang. Majalah GAYA jatuh terlangkup di atas tanah simen. Eriqa Ellen segera mencapai majalah cepat-cepat kemudian bangun semula memandang lelaki yang masih berada di hadapannya. Wajah lelaki itu nampak serius. Mungkin marah. Mereka berdua hanya saling berpandangan tanpa berkata apa-apa.
            “Maaf encik. Saya tak sengaja. Maaf!” mohon Eriqa Ellen sambil mengangkat kedua-dua tangan. Dia segera mengangkat kaki. Separuh jalan dia memberanikan diri pusing ke belakang. Alamak, lelaki itu masih memandang dia rupanya. Dia terus mempercepatkan langkah menuju ke destinasi.

Tangan kirinya memegang bakul. Matanya meliar mencari barang yang dikehendaki. Satu demi satu  dicapai, dibeleknya kemudian diletakkan di tempat asal kemudian berfikir-fikir mahu membelinya atau tidak. Di bahagian makanan ringan, matanya terkebil-kebil, tidak tahu mahu mengambil yang mana satu. Dia memandang  Maggie,  kotak susu kocak, biskut kering dan beberapa makanan ringan. Dia yakin makanan di dalam cukup untuk sepanjang percutiannya. Dia malas mahu keluar lagi hanya semata-mata membeli barang makanan.  Matanya meliar smabil itu kakinya berjalan. Tiada yang berkenan. Tiba di satu rak, dia terpandang bungkusan biskut Chipsmore perisa coklat. Baru tangannya hendak mencapai, ada tangan lain yang sudah mengambilnya dulu. Eriqa Ellen terkebil-kebil di situ. Sekejap sahaja hilang dari pandangannya. Dia menoleh ke sebelah. Lelaki itu? Lelaki yang terlanggarnya tadi. Dia? Eriqa Ellen tidak menunjukkan apa-apa reaksi wajah sebaliknya lelaki yang amsih berdiri di sebelahnya hanya tersenyum.
            “ Awak nak yang ini ke?” tanya lelaki itu.
            “Tak…tak…tak apa. Ada banyak biskut chipsmore yang lain” Eriqa Ellen membelek-belek bungkusan biskut chipsmore, mahu mencari perisa coklat. Tiada. Hanya tinggal satu sahaja yang tadi.
            “Awak tentu mahu yang ini kan?” tanya lelaki itu lagi. Lelaki bertubuh tinggi, berkumis, berjanggut sejemput bawah dagu, berdahi luas dan berhidung mancung menggamit perasaannya. Tubuhnya tidak gemuk dan juga tidak kurus. Apa yang menarik, matanya agak tajam menikam pandangan. Boleh tahan juga orangnya!
            “Tak apalah. Ada banyak perisa lain” suara Eriqa Ellen sedikit bergetar. Entah kenapa dia rasa kurang senang bila lelaki ini tidak berganjak dari sini. Sudah dapat chipsmore perisa coklat kenapa masih di sini?
            “Perisa coklat tinggal satu sahaja. Awak ambillah. Saya boleh cari di tempat lain” lelaki itu menghulurkan bungkusan biskut Chipsmore.
            Eriqa Ellen terkelu memandang bungkusan biskut di depan matanya. Mahu ambil atau tidak. Dia memandang lelaki itu. Ada senyuman nipis. Dia lega tapi dia tergamak mahu mengambil biskut itu. Rasa serba salah pula.
            “tak apalah. Awak ambillah. Saya ambil perisa ‘original’. Ala rasanya lebih kurang sama je kan” Eriqa Ellen cuba untuk tersenyum. Bungkusan yang diambil terus diletakkan ke dalam bakul.
            Lelaki di sebelahnya hanya diam membisu. Dia hanya mampu melihat tindakan Eriqa Ellen. Wajahnya tiada sebarang reaksi begitu juga tindak tanduknya hanya kaku. Eriqa Ellen senyum nipis. Ada rasa malu bila tindakan kaku lelaki di hadapannya, macam tiada perasaan pula. Mungkin terkejut agaknya.
            “saya pergi dulu” pohon Eriqa Ellen tanpa memandang sedikit pun wajah lelaki di sebelahnya. Semasa melangkah, kakinya bagaikan tidak berpijak di bumi nyata. Seperti melayang – layang di udara. Hatinya mengegsa-gesa meminta dia menoleh ke belakang. Perlahan-lahan Eriqa Ellen menoleh ke belakang. Lelaki itu masih statik di situ sambil memandang dirinya. Sama seperti pertemuan tadi, memandangnya tanpa senyuman. Eriqa Ellen mahu memberikan senyuman tetapi terasa tawar pula. Dia hanya mengangguk perlahan terus menuju ke kaunter. Dia marah ke? Hati Eriqa Ellen mula gelisah. Langkahnya laju menuju ke kaunter. Dalam hati, berdoa agar tidak bertemu lelaki itu lagi.
            Sebaik sahaja dia menyusun langkah,  Aizal Izham menegurnya dari hadapan. Eriqa Ellen tergamam dengan mata membulat
            “Buat apa kat sini?” tanya Eriqa Ellen gugup. Dia toleh kiri kanan kalau-kalau isteri lelaki ni ada sekali.
            “Beli barang. Jom kita pergi minum?’ pelawa Aizal Izham.
            “Awak ni kenapa? Masih tak faham-faham lagi ke yang saya taknak jumpa awak lagi. Kalau kawan pun saya tak inginlah. Jangan ganggu saya lagi!” marah Eriqa Ellen.
            “ Salah ke kalau kita jadi kawan?”

            “Tak ingin!” Eriqa Ellen terus angkat kaki.

Saturday, September 9, 2017

The Boy



Filem ini bermula seorang wanita Amerika bernama Greta yang dilakonkan oleh Lauren Cohan mendapat tawaran sebagai pengasuh di England. Dia membuat keputusan meninggalkan Amerika untuk melupakan bekas kekasihnya.
Setiba di rumah agam milik keluarga Heelshire, Greta terkejut bahawa kanak-kanak yang bakal di asuhnya merupaka boneka bernama Brahms berusia dalam lingkungan 8 tahun. Boneka tersebut amat disayangi oleh pasangan suami isteri seperti anak kandung sendiri. Boneka itu seolah-olah hidup bagi pasangan suami isteri itu.

Selain itu muncul satu watak lelaki tampan yang menjadi penghantar barang ke  rumah agam tersebut bernama Malcom yang dilakonkan oleh Rupert Evans. Malcom tertawan dengan Greta dan sedia membantu Greta jika diperlukan.
Misteri dan keresahan Greta bermula apabila pasangan Heelshire mahu bercuti dengan meninggalkan Greta dan Brahms. Puan Heelshire meninggalkan menu dan peraturan untuk Brahms. Maka bermulalah hal-hal aneh yang menimbulkan ketakutan dan pertanyaan Greta. Setiap kali terpandang potret  keluarga, seperti mahu memberitahu sesuatu. Greta terganggu apabila dia di kunci dalam loteng, sedangkan dalam rumah agam itu hanya dia dan patung itu sahaja. Kemudian dia merasakan ada pergerakan seseorang dalam rumah sehingga dia merasakan Brahms, patung berhantu yang memiliki roh. 


Greta mula mencungkil rahsia demi rahsia tentang keluarga Heelshare yang sebenarnya kehilangana nak lelakinya yang amti akibat kebakaran. Oleh keraan tidak boleh menerima kematian itu, pasangan itu membela boneka sebagai anak sendiri. Namun misteri demi misteri memaksa Greta mencungkil dan mencari rahsia yang tersimpan setelah beberapa kali di ganggu

.

Susu Kunyit



Susu kunyit merupakan minuman masyarakat  India yang biasa diamalkan sebelum tidur. Saya mengamalkannya tidak kira waktu dengan menggunakan susu kambing dicampirkan dengan badam yang di tumbuk halus kemudian campurkan air dan satu sudu kunyit serbuk dan didihkan. Kmeudian saya kacaukan dengan satu susu madu. Rasanya sangat sedap.
-Susu kunyit dapat mencegah dan memperlambat perkembangan barah
-Susu kunyit merupakan antioksida yang baik.
-Dalam tradisi Ayuvedic di India, susu kunyit dianggap sebagai pembersih darah.
-Susu kunyit sebagai pembersih racun alami pada hati.
-Membantu mencegah pembentukan lemak pada tubuh,
-Melancarkan pencernaan
-Meredakan sakit kepala
-Menjaga kesihatan jantung
-Mencerah dan menjaga kesihatan kulit.


Sebenarnya banyak lagi manfaat susu kunyit.