Sunday, September 10, 2017

Cinta Takkan Berakhir

Bab 6

Langkahnya terhenti bila terpandang kedai buku yang agak lama. Kedai tersebut nampak usang. Tapi pembeli tidak pernah putus keluar masuk. Kakinya terus menghala ke situ. Dia yakin pasti banyak buku-buku lama yang boleh dibeli.  Matanya meliar memerhatikan rak-rak yang sedikit usang. Ada beberapa buah buku lama dan baru tersusun rapi. Dia membelek satu persatu. Dia tersenyum melihat buku-buku yang tersusun. Susunan buku ini bagaikan terapi bagi dirinya. Banyak juga buku-buku lama seperti buku-buku tulisan Buya Hamka dan sasterawan Negara seperti Datuk A. Samad Said. Sudah lama dia tidak membaca buku-buku lama. Lagipun sukar mahu mendapatkan buku-buku lama yang ditulis oleh penulis-penulis ternama suatu ketika dulu. Ada beberapa buah buku lama yang belum pernah dibacanya sepeti Neracha Hidup tulisan Buya Hamka.
            Ketika leka membelek buku-buku, dia terpandangkan rak majalah di tepi pintu masuk kedai. Eriqa Ellen terus menghalakan langkah ke sana dengan girang. Tangannya terus membelek satu demi satu majalah. Tiba di satu majalah, dia terus menarik. Dia tersenyum lebar bila melihat muka depan majalah GAYA.Wajah Mizz Nina dengan gaya hijab yang cukup memukau pandangan. Tanpa membuang masa Eriqa Ellen membawa majalah itu ke kaunter. Selepas membayar Eriqa Ellen terus keluar. Dia cadang mahu ke pasaraya untuk membeli stok makanan sepanjang percutiannya di sini.
            Majalah ditangannya diselak pada halaman pertama. Muka surat itu ditatap lama kemudian tersenyum sinis. Gambar seorang wanita yang menghiasi bicara Editor sungguh menjengkelkan. Barangkali perempuan di dalam majalah itu sudah dapat apa yang diingininya. Eriqa Ellen tetap yakin, manusia yang duduk di atas tidak selamanya, tiba waktu akan terjatuh semula. Tidak mengapa, ALLAH maha adil! Getus hati kecilnya.
            Tangannya menyelak-nyelak halaman lain. Sudah banyak perubahan majalah GAYA namun dia rasa kurang senang dengan perubahan majalah ini secara mendadak ini. Sudah jauh dari konsep asal majalah hebat ini. Namun dia lega bila ada beberapa bahagian majalah tidak di ubah. Itu pun ruangan kegemaran pembaca seperti fesyen pilihan, cerita pembaca dan sebagainya. Tangannya menyelak-nyelak halaman dengan arsa tidak sabar. Beginilah sikapnya setiap kali bila majalah GAYA yang muncul setiap bulan di tangannya. Tiba di satu halaman, Eriqa Ellen tersenyum lebar. Dia tersenyum puas. Inilah satu-satu ruangan cetusan idea Puan Seri Halizah yang pernah ditolak mentah-mentah oleh Suzana. Oleh kerana Puan Halizah ada kuasa veto Suazana terpaksa mengalah. Siapa dia hendak lawan Puan Halizah? Huh, jangan kau ingat, tempat aku kau dah ambil, kau boleh ambil perhatian Puan Halizah dari aku? Masih hingga sekarang Puan Halizah memujuk dia kembali ke syarikatnya malah mahu memberi jawatan lain agar dia tidak meninggalkan Chatique  Publisher. Dia tak sanggup sebumbung dengan Suzana yang talam dua muka. Masa awal-awal  jadi pembantu Editor Majalah GAYA, pijak semut pun tak mati, rupa-rupanya dalam dia main tikam belakang. Sekali pandang, memang nampak lurus rupanya perangainya bengkang bengkok. Berani mengenakan orang dalam diam-diam. Tiba di halaman yang tercatit segala tulisannya, Eriqa Ellen tersenyum riang. Tajuk artikelnya kali ini ialah Wanita menawan pada usia 30-an. Dia mengambil masa dua hari sahaja menyiapkan artikel ini. Beberapa kali dia menyunting artikelnya agar nampak lebih baik, kemas dan padat bila dibaca. Bila setiap kali membaca tulisannya sendiri, dia rasa bangga untuk dirinya sendiri. Sekurang-kurang pembaca majalah GAYA tidak lupakan dirinya yang pernah mengemudi majalah GAYA.
            Ketika dia asyik membaca karyanya sambil berjalan, sedar tidak sedar dia terlanggar bahu seseorang. Majalah GAYA jatuh terlangkup di atas tanah simen. Eriqa Ellen segera mencapai majalah cepat-cepat kemudian bangun semula memandang lelaki yang masih berada di hadapannya. Wajah lelaki itu nampak serius. Mungkin marah. Mereka berdua hanya saling berpandangan tanpa berkata apa-apa.
            “Maaf encik. Saya tak sengaja. Maaf!” mohon Eriqa Ellen sambil mengangkat kedua-dua tangan. Dia segera mengangkat kaki. Separuh jalan dia memberanikan diri pusing ke belakang. Alamak, lelaki itu masih memandang dia rupanya. Dia terus mempercepatkan langkah menuju ke destinasi.

Tangan kirinya memegang bakul. Matanya meliar mencari barang yang dikehendaki. Satu demi satu  dicapai, dibeleknya kemudian diletakkan di tempat asal kemudian berfikir-fikir mahu membelinya atau tidak. Di bahagian makanan ringan, matanya terkebil-kebil, tidak tahu mahu mengambil yang mana satu. Dia memandang  Maggie,  kotak susu kocak, biskut kering dan beberapa makanan ringan. Dia yakin makanan di dalam cukup untuk sepanjang percutiannya. Dia malas mahu keluar lagi hanya semata-mata membeli barang makanan.  Matanya meliar smabil itu kakinya berjalan. Tiada yang berkenan. Tiba di satu rak, dia terpandang bungkusan biskut Chipsmore perisa coklat. Baru tangannya hendak mencapai, ada tangan lain yang sudah mengambilnya dulu. Eriqa Ellen terkebil-kebil di situ. Sekejap sahaja hilang dari pandangannya. Dia menoleh ke sebelah. Lelaki itu? Lelaki yang terlanggarnya tadi. Dia? Eriqa Ellen tidak menunjukkan apa-apa reaksi wajah sebaliknya lelaki yang amsih berdiri di sebelahnya hanya tersenyum.
            “ Awak nak yang ini ke?” tanya lelaki itu.
            “Tak…tak…tak apa. Ada banyak biskut chipsmore yang lain” Eriqa Ellen membelek-belek bungkusan biskut chipsmore, mahu mencari perisa coklat. Tiada. Hanya tinggal satu sahaja yang tadi.
            “Awak tentu mahu yang ini kan?” tanya lelaki itu lagi. Lelaki bertubuh tinggi, berkumis, berjanggut sejemput bawah dagu, berdahi luas dan berhidung mancung menggamit perasaannya. Tubuhnya tidak gemuk dan juga tidak kurus. Apa yang menarik, matanya agak tajam menikam pandangan. Boleh tahan juga orangnya!
            “Tak apalah. Ada banyak perisa lain” suara Eriqa Ellen sedikit bergetar. Entah kenapa dia rasa kurang senang bila lelaki ini tidak berganjak dari sini. Sudah dapat chipsmore perisa coklat kenapa masih di sini?
            “Perisa coklat tinggal satu sahaja. Awak ambillah. Saya boleh cari di tempat lain” lelaki itu menghulurkan bungkusan biskut Chipsmore.
            Eriqa Ellen terkelu memandang bungkusan biskut di depan matanya. Mahu ambil atau tidak. Dia memandang lelaki itu. Ada senyuman nipis. Dia lega tapi dia tergamak mahu mengambil biskut itu. Rasa serba salah pula.
            “tak apalah. Awak ambillah. Saya ambil perisa ‘original’. Ala rasanya lebih kurang sama je kan” Eriqa Ellen cuba untuk tersenyum. Bungkusan yang diambil terus diletakkan ke dalam bakul.
            Lelaki di sebelahnya hanya diam membisu. Dia hanya mampu melihat tindakan Eriqa Ellen. Wajahnya tiada sebarang reaksi begitu juga tindak tanduknya hanya kaku. Eriqa Ellen senyum nipis. Ada rasa malu bila tindakan kaku lelaki di hadapannya, macam tiada perasaan pula. Mungkin terkejut agaknya.
            “saya pergi dulu” pohon Eriqa Ellen tanpa memandang sedikit pun wajah lelaki di sebelahnya. Semasa melangkah, kakinya bagaikan tidak berpijak di bumi nyata. Seperti melayang – layang di udara. Hatinya mengegsa-gesa meminta dia menoleh ke belakang. Perlahan-lahan Eriqa Ellen menoleh ke belakang. Lelaki itu masih statik di situ sambil memandang dirinya. Sama seperti pertemuan tadi, memandangnya tanpa senyuman. Eriqa Ellen mahu memberikan senyuman tetapi terasa tawar pula. Dia hanya mengangguk perlahan terus menuju ke kaunter. Dia marah ke? Hati Eriqa Ellen mula gelisah. Langkahnya laju menuju ke kaunter. Dalam hati, berdoa agar tidak bertemu lelaki itu lagi.
            Sebaik sahaja dia menyusun langkah,  Aizal Izham menegurnya dari hadapan. Eriqa Ellen tergamam dengan mata membulat
            “Buat apa kat sini?” tanya Eriqa Ellen gugup. Dia toleh kiri kanan kalau-kalau isteri lelaki ni ada sekali.
            “Beli barang. Jom kita pergi minum?’ pelawa Aizal Izham.
            “Awak ni kenapa? Masih tak faham-faham lagi ke yang saya taknak jumpa awak lagi. Kalau kawan pun saya tak inginlah. Jangan ganggu saya lagi!” marah Eriqa Ellen.
            “ Salah ke kalau kita jadi kawan?”

            “Tak ingin!” Eriqa Ellen terus angkat kaki.

No comments: